Blog

Bagaimana Cara Untuk Meningkatkan Jualan Anda Secara Online Ataupun Secara Offline

CARA MENINGKATKAN JUALAN ANDA!

Pekerjaan dalam bidang sales adalah satu pekerjaan yang mencabar. Setiap pesaing dalam pasaran sudah bijak mengatur langkah untuk membuat jualan yang hebat dan memberikan keuntungan yang berlipat kali ganda.

Menjual bukan sekadar membuat duit akan tetapi menjual adalah satu proses seni memujuk pelanggan untuk mengambil tindakan. Nak buat jualan dengan baik bukan satu perkara yang senang.

Kena ada banyak trial and error. Cara orang lain menjual mungkin belum tentu sesuai untuk kita gunakan dengan produk atau servis kita. Berikut adalah tip-tip untuk meningkatkan hasil jualan anda.

1-Fahami Misi Perniagaan Anda

Sebelum nak buat sales, sebelum nak mulakan bisnes lagi, anda kena faham betul-betul skop bisnes anda daripada A sampai Z. Apa kepakaran anda? Siapa yang perlukan anda? Apakah cara terbaik untuk mendekati pelanggan anda? Berapa banyak pelanggan anda sanggup berbelanja untuk produk anda?

Kalau anda menghadapi kesukaran untuk menjawab soalan-soalan ini, anda belum bersedia untuk membuat jualan. Sebenarnya anda belum bersedia untuk terjun ke dalam dunia bisnes.

Jika anda nekad untuk mula berjalan di jalan bisnes yang penuh dengan cabaran, kesusahan, kegagalan maka fikirkan dan fahamkan dulu misi dan visi perniagaan anda sebagai usahawan.

2-Pecahkan Misi Anda Pada Matlamat Yang Lebih Kecil

Setiap hari, setiap minggu, setiap bulan, setiap tahun hatta setiap 5 tahun dan 10 tahun perniagaan kita harus ada misi baru yang kita tetapkan.

Tulis matlamat kita setiap hari agar kita dapat mengawal pergerakan kita dan memusatkan pemikiran kita untuk mencapai matlamat kita.

Tulis secara lebih spesifik seperti berapa banyak perancangan, berapa banyak jualan, berapa banyak keuntungan dan kemudian ukur tahap pencapaian kita.

Dengan menulis matlamat kita setiap hari, kita boleh nampak sejauh mana perkembangan kita dan memperbaiki kelemahan kita.

3- Jual Ikut Keperluan Pelanggan

Selalu beranggapan yang pelanggan hanya akan beli perkara yang mereka perlukan. Bagaimana anda ingin yakinkan pelanggan anda yang mereka perlukan produk atau servis anda?

Sentiasa fokuskan pada kelebihan produk atau servis anda yang boleh mengurangkan kos perbelanjaan mereka atau menyelesaikan masalah pelanggan.

Mungkin produk anda kosnya agak mahal tetapi bahan yang digunakan tahan lama dan memberi keuntungan kepada pelanggan dalam jangka masa panjang. Sentiasa kreatif dalam mencari nilai tambah produk anda yang berguna untuk pelanggan semasa membuat jualan.

4- Cipta Dan Kekal Elemen Yang Pelanggan Sukai

Antara elemen yang membuatkan pelanggan suka dan setia dengan produk kita adalah strategi pemasaran yang berkesan, strategi jualan yang berkesan, dan soalan-soalan yang bernas kita lontarkan kepada pelanggan semasa berurusan.

Kenal pasti strategi mana satukah yang berkesan, disukai dan diingati pelanggan. Teruskan berbuat perkara yang sama dan kekalkan. Penambahbaikan hanya perlu untuk kesesuaian dan keperluan semasa mengikut kehendak pelanggan.

5- Jual Setiap Produk Atau Servis Dengan Tujuan

Setiap fasa dalam proses jualan ada tindakan yang tertentu yang perlu dirancang dan dilakukan. Ambil tahu siapa target pelanggan anda dan kenapa mereka yang anda pilih.

Apa yang anda akan bagi tahu mereka semasa membuat jualan dan kenapa? Kalau anda tidak tahu ayat apakah yang sesuai untuk digunakan semasa menjual, anda boleh perhatikan mereka-mereka yang menjual di perusahaan yang ternama ataupun anda boleh menghadiri kelas-kelas latihan untuk jualan.

6-Bina Sikap Yang Menawan Pelanggan

Sikap dan tingkah laku kita boleh dibentuk. Sekiranya anda tidak suka menjual dan berhadapan dengan orang ramai. Anda boleh belajar bagaiman nak mengatasi gemuruh atau rasa tidak selesa bila berhadapan dengan orang ramai.

Mungkin anda seorang introvert dan tidak gemar bercakap banyak apatah lagi nak memujuk pelanggan untuk membeli. Sikap kita adalah hak milik kita tetapi untuk menjual dengan hebat, kita harus membuat penyelarasan tingkah laku bergantung kepada keadaan.

Bersikap ramahlah semasa membuat jualan walaupun kita lebih suka diam agar kita membuatkan pelanggan berasa senang hati.

Bukanlah bermaksud kita hipokrit akan tetapi kita harus tahu untuk menyesuaikan diri mengikut situasi dan keperluan diri,pelanggan dan syarikat.

Sumber : www.majalahniaga.com / Pusat Zakat Pahang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *